UITM : Hak bangsa Melayu dan bumiputera.
- Jul 10, 2018
- 2 min read

Pada 28 Mei lepas, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu ( Hindraf ) telah menyerahkan memorandum kepda jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India yang mana salah satu tuntutan tersebut adalah pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum india masuk ke universiti awam termasuk UiTM.
Namun begitu, Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan telah memulakan petisyen pembantahan memorandum yang dicadangkan oleh HINDRAF. Beliau menegaskan yang UiTM adalah sebahagian daripada komponen dan hak serta keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 perlembagaan persekutuan Malaysia. Perkara ini turut mendapat perhatian daripada Menteri Pelajaran yang baharu, Dr Maszlee Malik, namun beliau tidak memberi apa-apa ulasan berkenaannya.
Melihat daripada isu ini, suka untuk saya berkongsi akan satu analogi yang saya rasakan sangat sesuai untuk menggambarkan keadaan yang berlaku dan jawapan yang sepatutnya diberikan oleh pemimpin pada masa ini berkaitan isu ini. Analogi tersebut adalah, bayangkan di sebuah apartmen yang baru sahaja siap di bina, sebuah keluarga telah mula masuk dan tinggal di situ dan mereka mereka merupakan keluarga pertama yang menjejakkan kaki dan menduduki apartmen yang baru itu. Di sebabkan itu, pihak pemaju telah memberikan keistimewaan dengan memberi sebuah parking lot kepada keluarga tersebut. Setelah beberapa lama, apartmen tersebut mula dihuni oleh ramai keluarga yang baru. Namun begitu, keluarga-keluarga yang lain tidak mendapat parking lot sendiri dan mereka dikehendaki untuk parking di tempat yang disediakan. Tiba-tiba, pada suatu hari ada seorang pemuda daripada sebuah keluarga yang baru sahaja mula menetap di apartmen tersebut mempertikaikan akan parking lot yang telah diberikan oleh pihak pemaju kepada keluarga yang pertama tadi. Pemuda tersebut mengatakan yang parking ini kenalah dibuka untuk orang ramai supaya mereka boleh parking di tempat itu walhal tempat parking yang lain masih banyak yang kosong.
Daripada analogi yang saya berikan, apa pendapat anda tentang parking lot yang diberikan kepada keluarga pertama tadi? Apakah dengan membuka tempat tersebut akan menyebabkan semua orang mendapat hak kesamarataan walhal mereka datang lambat?
Saya yakin dan percaya, dalam hidup kita ini selalu mendengar ayat “siapa cepat dia dapat” dan ini lah yang sebenarnya berlaku kepada bangsa Melayu sebagai sebuah bangsa yang pertama menjejakkan kaki di tanah ini. Namun, disebabkan penjajahan yang berlaku telah menyebabkan bangsa Melayu sedikit ketinggalan dengan bangsa yang lain sehinggakan hak keistimewaan Melayu turut dicatatkan dalam perlembagaan persekutuan. Walau bagaimanapun, saya tetap ingin menegaskan kepada bangsa Melayu untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan hak keistimewaan ini sebagai satu alat untuk kepentingan diri sendiri.
Akhirul kalam, Memang betul, semua bangsa patut mendapat hak yang sama rata namun kena faham tidak semua perkara kena di samaratakan. Maka amatlah penting untuk kita mengamalkan sikap bertoleransi dalam perkara ini untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan isu ini.







Comments